Rakyat di 1Malaysia ini sebenarnya semakin derita. Masalahnya orang politik leka hendak memperkukuhkan parti. BN nak jatuhkan PR. PR nak jatuhkan BN. Sesama UMNO nak jatuhkan UMNO. Sesama PKR nak jatuhkan PKR. Sesama PAS pun ada nak jatuhkan sesama PAS.
Yang susah tetap susah. Cerita politik dan cerita hantu semakin mendapat tempat di 1Malaysia.
Bajet Kementerian Pelajaran banyak dipotong hingga guru terpaksa keluar duit sendiri baiki kelas seperti di sini http://waghih. blogspot. com/2010/ 02/guru-baiki- kelas-duit- sendiri-kerajaan .html
Tapi duit untuk Program PERMATA ada pula, sampai hantar 5 orang kanak-kanak PERMATA keluar negara, berapa orang pula pengiring 5 orang kanak-kanak PERMATA ini ?
Kursus Polis dipendek ke 3 bulan, cukup ke 3 bulan , dengan macam-macam kes jenayah sekarang ni ? Bajet untuk PDRM dipotong, Kursus PLKN jalan macam biasa, juga 3 bulan, ada pula Bajet untuk PLKN untuk PDRM di potong-potong.
Kursus guru banyak dipotong, alasan tak ada duit. Tapi Program Juara Rakyat boleh pula buat hebat-hebat.
Baca dua kisah di bawah, kisah yang kebanyakan semua daripada kita merasai perit hidup sekarang ini.
************ ********* *
Berita Harian 8 Mac 2010
Golongan pertengahan terus diabai
SURAT Nurul Addin bertajuk ‘Hak gaji tinggi, ramai anak dinafi' yang disiarkan ruangan ini 4 Mac lalu, sangat menarik Apa yang ditulis Nurul Addin tepat dan sudah lama dipandang sepi pihak tertentu.
Walaupun sesetengah isu sudah diatasi seperti skim pinjaman buku teks, terbaru iaitu isu bayaran makan asrama amat menekankan. Seperti Nurul, saya juga mempunyai enam anak yang masih belajar - dua di institusi Pengajian Tinggi (IPT) swasta, seorang di IPT awam, dua di sekolah berasrama penuh dan seorang di sekolah rendah.
Sudahlah anak di IPT dinafikan hak untuk mendapat pinjaman penuh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), anak di sekolah berasrama penuh (SBP) pula dikenakan bayaran tambahan RM180 seorang dan yuran makan tiga kali ganda daripada pelajar lain.
Ini bermakna ibu bapa terpaksa mengikat perut menabung untuk membayar yuran pengajian pada awal semester. Belum sempat menambah tabungan, semester baru sudah bermula.
Dalam keadaan ekonomi seperti hari ini, nasib golongan berpendapatan sederhana seperti kami sering dipandang sepi oleh pihak berkuasa. Seperti kata Nurul, di atas kertas memang pendapatan kami nampak tinggi, namun hakikatnya hidup kami anak beranak sudah nyawa-nyawa ikan.
Anak yang masih belajar mengadu betapa hidup mereka di IPT jauh lebih sukar berbanding rakan lain yang ibu bapa mereka tidak mengisytihar pendapatan sebenar. Ibu bapa menghadiahkan kereta mewah dan PTPTN juga penuh.
Walhal anak kami menelan air liur melihat semua ini. ‘Sabarlah nak’. Itulah saja yang boleh kami katakan kepada anak kerana ayah dan emak sudah membayar cukai pendapatan dan memperoleh ijazah dengan ke air mata tanpa PTPTN.
Adalah menjadi harapan pihak tertentu mengambil tindakan yang boleh membantu anak kami yang masih jauh perjalanan dan mendapat hak mereka yang sepatutnya.
BAHARON HASHIM,
Labu Besar, Kedah.
http://www.bharian. com.my/Current_ News/BH/Monday/ Surat/2010030801 0341/Article/ index_html
************ ********* *****
Hak gaji tinggi, ramai anak dinafi
Berita Harian 8 Mac 2010
SAYA menulis kerana ingin meluahkan rasa hati sebagai golongan dikatakan berpengetahuan tinggi. Saya dan pasangan memperoleh pendapatan lebih kurang RM6,000 sebulan. Pendapatan ini kami peroleh bukan dengan mudah. Kami hanya bermula sebagai lepasan sijil dan sedikit demi sedikit mengumpul duit kemudian melanjutkan pelajaran secara persendirian tanpa bantuan sesiapa.
Selepas bersusah payah, berkorban dan berbekalkan tekad serta kegigihan, kami kini bergelar siswazah. Keluarga kami juga besar yang terdiri daripada enam anak selain turut menjaga ibu bapa. Kami juga berusaha menyediakan insurans pendidikan untuk anak supaya mereka tidak bergantung kepada bantuan kerajaan pada masa depan.
Namun, saya rasa sangat kecewa apabila berasa terhukum kerana berada dalam golongan dikatakan berpendapatan tinggi. Baru-baru ini, dua daripada lima anak saya mendapat tawaran belajar di sekolah berasrama.
Apabila dilihat kepada bayaran makanan, ternyata kami harus membayar tiga kali ganda daripada apa dibayar orang berpendapatan kurang RM5,000. Benar kami berpendapatan lebih RM5,000, tetapi kami mempunyai tanggungan besar. Lima anak kami bersekolah dan tiga daripadanya di sekolah menengah. Kami juga membayar cukai setiap tahun. Semua ini tidak diambil kira.
Orang yang berpendapatan kurang RM5,000 membayar kurang berbanding kami, malah mereka yang berpendapatan rendah mendapat segala bantuan. Saya tidak dengki kepada mereka, tetapi mengapakah orang yang berpendapatan seperti kami dihukum?
Sebenarnya siapakah yang lebih banyak tanggungan? Mereka yang mempunyai anak seorang, tetapi mendapat pendapatan kurang RM5,000 atau golongan seperti kami yang mempunyai pendapatan dikatakan tinggi, tetapi tiada sebarang bantuan untuk anak kami, malah 'didenda' pula untuk membayar lebih. Akhirnya kami tidak menghantar seorang pun anak kami kerana tidak mampu sebenarnya. Seharusnya bilangan tanggungan harus diambil kira bukan hanya angka pendapatan di atas kertas.
NURUL ADDIN,
Cheras, Kuala Lumpur.
http://www.bharian. com.my/Current_ News/BH/Thursday /Surat/201003032 31506/Article/