Sambil menggelar bekas Menteri Undang-undang, "katak" dan "kurang waras" mantan PerdanaMenteri, Dr Mahathir Mohamad menyelar rayuan zaid Ibrahim kepada Yang di-Pertuan AgongTuanku Mizan Zainal Abidin agar jangan melantik Najib Razak sebagai Perdana Menteri.
"Dia berhak berkata. Dia (cuma) satu orang (sahaja). Sama ada Yang di-Pertuan Agong mendengar pendapat satu orang itu adalah hak Yang di-Pertuan Agong," katanya kepada media ketika diminta mengulas tentang rayuan itu yang dibuat oleh Zaid semalam.
Beliau membuat kenyataan itu pada sidang akhbar berkaitan penganjuran Forum dan Pameran Pembunuhan di Gaza:Penyelesaian untuk Palestin di sini.
"Orang yang membuat cadangan ini pun bukanlah orang yang disanjung tinggi (dan) dianggap orang yang betul-betul waras pemikiran dia."
"Saya fikir kalau saya jadi (Yang di-Pertuan) Agong saya tak mahu baca apapun pasal ini. Bodoh sangat. Siapa dia nak (jadi Perdana Menteri)?
"Dia (Zaid) tak terpilih untuk bertanding pun....orang macam ini dia lompat sehari 10 kali?macam katak aja. Tak kan(Yang di-Pertuan) Agong nak dengar cakap katak," tambahnya.
Ditanya sama ada beliau memberi sokongan penuh kepada Najib supaya dilantik sebagai Perdana Menteri, Dr Mahathir berkata, "Saya akan menyokong Datuk Najib tapi ia mempunyai syarat di mana beliau hendaklah jangan melantik mana- mana pemimpin yang korup dalam kabinetnya.
Beliau turut mengulas tentang persepsi umum yang mengatakan Najib adalah seorang yang korup.
"Saya bercakap mengenai tindakan yang diambil oleh Lembaga Disiplin Umno dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Saya bukan bercakap tentang apa yang orang ramai percaya. Ramai orang percaya tentang sesuatu tapi tiada keputusan dari segi undang-undang sama ada Najib korup atau tidak.
Ditanya tentang calon pilihannya sebagai Timbalan Presiden UMNO, Dr Mahathir berkata, "Saya fikir apa yang tinggal ialah seseorang yang..ialah, tidak boleh membaca Bahasa Inggeris dan oleh itu dia buat sesuatu yang salah di Australia..jadi pilihan saya ialah Muhyiddin (Yassin).
Perebutan jawatan itu meninggalkan Muhyiddin dan Muhammad Muhamad Taib berikutan penggantungan Mohd Ali Rustam untuk bertanding kerana terlibat dalam rasuah politik.
Dr Mahathir turut mengulas kenyataan Mohd Ali yang mengatakan beliau turut terlibat dalam keputusan Lembaga Disiplin baru-baru ini.
"Saya harap saya boleh tapi saya bukan anggota Umno. Jika saya terbabit, saya akan menghumban beliau keluar sejak awal lagi tapi saya tidak terlibat jadi..minta maaf.
"Saya berasa berat hati untuk tunggu keputusan oleh lembaga itu dan saya tidak cukup gembira dengan keputusan," katanya.
Beliau berkata "layanan" yang sama perlu diberi kepada Mohd Ali sebagaimana yang diberi kepada bekas Naib Presiden UMNO, Mohamed Isa Abdul Samad, dahulu.
"Ada satu kes (di mana) Isa Samad, yang dikeluarkan kerana terbabit dalam politik wang tapi dia juga hilang kedudukannya sebagai menteri. Tapi di sini kita ada keputusan yang pelik.
"Dia didapati korup tapi dia kekal sebagai Ketua Menteri (Melaka). Sekarang kita ada seorang yang disahkan sebagai korup tapi parti menerima beliau sebagai Ketua Menteri.
"Jika anda buat keputusan, ia mesti konsisten. Dalam cara yang sama, ia perlu meliputi semua orang, dengan jumlah yang sama. Anda tak boleh berkata, baiklah, dia bunuh orang itu dia patut digantung. Dia bunuh orang lain tapi orang itu tidak penting, jadi lepaskan dia," katanya.
Antara lain, bekas Presiden UMNO itu turut tidak menolak kemungkinan berlakunya usul "undi percaya" di Parlimen bagi mengekalkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri.
"Ia ada kemungkinan. Ia tidak bertentangan dengan undang-undang. Undang-undang membenarkan bahawa anda mesti mendapat undi majoriti dalam Parlimen tapi ia tidak sebut dari parti mana.
"Menurut perlembagaan, seseorang yang akan dijadikan Perdana Menteri adalah seseorang yang akan mendapat sokongan majoriti di Parlimen. Jika anda lantik seseorang yang gagal untuk mendapat sokongan majoriti, ia akan terkeluar.
Dr Mahathir berkata dalam Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut bahawa Presiden Umno mesti menjadi Perdana Menteri.
"Tiada peruntukan. Ia merupakan aturan kita," katanya.
Dr Mahathir berkata bahawa dari segi undang-undang, perdana menteri sekarang boleh meneruskan tugas sehingga pilihan raya umum akan datang jika beliau mahu.
"Tapi sudah tentu beliau akan berdepan dengan undi tidak percaya di Parlimen. Jika dia pergi ke Parlimen, dia (Abdullah) punya peluang yang baik untuk menang dengan sokongan pembangkang tapi dia akan menjadi PM pembangkang," katanya.
Dr Mahathir berkata pembangkang juga mempunyai undi di Parlimen dan jika pembangkang, bersama-sama dengan sebahagian anggota Barisan Nasional, bagi mengundi Abdullah, "ketika itu dia akan menjadi PM".