" Saya tidak menyokong Dato’ Seri Anwar Ibrahim kerana dia Anwar Ibrahim. Saya juga tidak menyokong parti KeADILan atau PAS hanya kerana mereka berhimpun dalam Pakatan Rakyat.
Saya tidak pernah memberi undi saya kepada DAP sehinggalah terpaksa memberinya dalam pilihanraya umum 2008. Sejak mula dibenarkan mengundi sekitar 28 tahun lalu, undi saya hanya untuk BN atau PAS.
Prinsip saya jelas, undi saya hanya untuk Melayu, atau jika tiada maka ianya untuk Barisan Nasional. Dilahirkan dalam keluarga yang terlalu taksub dengan ‘Kapal Layar’ dan selepas itu ‘Dacing’.
Sejak kecil yang menjadi halwa telinga saya dan 12 orang adik beradik saya hanya cerita kehebatan dan perjuangan orang Melayu dalam mazhab UMNO. Hanya sejak 1998, penilaian semula saya lakukan terhadap untuk apa dan untuk siapa harus saya berikan undi saya.
Sejak kecil hinggalah awal 1970an (apabila ayah dipecat daripada UMNO) saya diheret ke hulu ke hilir mengikut ibu yang terpaksa menemani ayah untuk berkempen ‘Kapal Layar’ dan kemudiannya ‘Dacing’.
Tamat episod arwah ayah, disambung pula dengan agenda sepupu dan ayah saudara (abang kepada ayah) yang berkempen, bertanding dan bergelar YB di Tioman dan Rompin, juga dengan logo ‘Dacing’.
Persekitaran siasah Perikatan, UMNO dan Barisan Nasional diera keluarga dan zaman bergelar pelajar bersama beberapa sahabat debate team, Syed Omar Abdullah (bekas press sec.
Muhyiddin Yassin dan Secpol Syed Hamid Albar) dan rakan sebilik- Mohd Zain Ariff (bekas press sec Syed Hamid Albar) begitu menambat sunabari saya.
Haji Asmaon Ismail (bekas secpol. Muhyiddin Yassin dan ADUN Kota Tinggi) adalah rakan bertengkar larut malam yang selalu tidak bersetuju pabila saya mengiakan idea cetusan Anwar Ibrahim. Semua itu cerita dulu yang telah saya ‘period’kan sekitar tahun 1998.
Saya hentikan bicara politik bersama mereka kerana kami punya pendirian yang berbeda. Kalau sesekali bertemu, topik bicara hanya hal peribadi, ilmiah dan dot… dot… dot…
Rakan bertekak dan berdebat, Allahyarham Kadri Sabran dan Cikgu Kadir Mas’od (kedua-duanya bekas exco Johor), dan beberapa bekas YB yang masih pekat dan lekat dengan ‘Dacing’ kekadang membuatkan saya terleka dengan UMNO dan BN sehingga dikejutkan dengan laungan “Reformasi”.
Hari ini, asas pendirian saya adalah sama, tidak dipisahkan oleh koma atau titik dengan apa yang pernah lahir sejak 1977 tika menjadi wakil ABIM Johore dalam beberapa majlis ilmu bersama Cikgu Idris Jusi (Dato’).
Pendirian saya tetap utuh, “Mendengar hujah anda tidak membuat saya akur. Melayan bicara anda, tidak membuat saya alpa. Membeta kata-kata anda, tidak bermaksud kita tidak sehaluan”. Prinsip inilah yang selalu membuat Khaled Nordin (Dato’ – Menteri Pengajian Tinggi) sejak zaman sekolah hingga kini ‘benci tapi rindu untuk bicara bersama’.
Cuti Raya yang lalu, cikgu Ishak Awang (bekas ADUN Endau) dengan sinis pintas bicara saya “Fi, engkau dok minat sangat kat Anwar Ibrahim tu apasal?”. Hujah saya mudah. “Saya bukan minat kat Anwar, tapi kita semua perlukan Anwar Ibrahim.
Kita semua perlukan pemimpin Melayu yang berani bukan sebab dia ada kuasa tetapi kerana dia ada kekuatan sendiri dan keyakinan peribadi.
Cikgu (saya masih panggil Ishak dengan gelaran cikgu) beritahu saya mana lagi pemimpin Melayu yang ada kekuatan dan keyakinan seperti yang Anwar ada?”.