Sesekali saya membeli juga akhbar arus perdana.
Bukan apa, mahu tahu perkembangan di tanah air dan luar negara termasuk sukan.
Baru-baru ini ketika membaca ruangan surat pembaca sebuah akhbar perdana, saya tertarik dengan sepucuk surat. Nama penulisnya, Wan Fariz Izudin Wan Yaacob, dari Shah Alam. Tajuk suratnya 'Menteri kena tunjuk teladan berjimat'.
Di sini saya siarkan suratnya untuk renungan bersama:
"Saya tertarik dengan saranan Ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayob supaya menteri dipotong elaun sebagai antara langkah penjimatan wang kerajaan.
"Sebenarnya, saya kurang bersetuju saranan sesetengah menteri yang mahukan rakyat mengubah gaya hidup demi memenuhi tuntutan kenaikan harga minyak di pasaran sekarang sedangkan mereka masih mengamalkan cara hidup mewah.
"Ulasan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Shahrir Samad yang menyatakan pemotongan elaun menteri tidak rasional sama sekali, tidak boleh diterima.
"Ini bertentangan dengan saranan Perdana Menteri yang mahu rakyat keseluruhannya berjimat cermat. Walaupun pemotongan elaun menteri tidak membabitkan wang berbilion ringgit, saya pasti kerajaan dapat menjimatkan jutaan ringgit.
"Saya berasakan teladan dan contoh patut datang daripada menteri Kabinet. Jangan hanya pandai menasihati rakyat supaya berjimat cermat dan mengubah cara hidup, tetapi pada masa sama, mereka tetap hidup mewah dengan petrol kenderaan diberikan percuma.
"Ini bermakna menteri tidak berasakan apa rakyat rasakan. Mereka hanya pandai berkata-kata, namun hakikatnya mereka tidak berani menyahut cabaran kini yang sudah pun disahut rakyat."
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment