BN memancing sokongan pengundi Cina di parlimen Bukit Gantang dengan konsert gadis manis berimej seksi yang berlangsung di majlis makan malam yang dihadiri menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan calon BN, Ismail Saffian.
Tiga artis Cina menari dan menyanyi lagu rancak sewaktu menteri agama itu sedang sidang media di depan pentas tersebut, selepas selesai majlis ceramah.
Majlis ceramah dan makan malam perpaduan itu dihadiri oleh kira-kira 1,500 di Kampung Baru Kuala Sepetang, sebuah perkampung nelayan di DUN Kuala Sepetang bawah kawasan parlimen itu.
Tiga gadis tersebut berseluar pendek hitam dan singlet biru.
Dalam ucapannya, timbalan pengerusi Umno Perak mendakwa sokongan masyarakat Cina terhadap
BN dalam pilihanraya kecil semakin bertambah
"Sokongan pengundi Cina, mengikut laporan, semakin bertambah sekarang ini. Kerajaan pusat mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.
"(Sokongan bertambah) setelah kita mengangkat semua masalah (mereka) ini kepada menteri berkenaan. Dan tindakan segera sedang dilakukan," katanya.
Tambahnya, kerajaan telah mengenal pasti beberapa masalah utama nelayan di kawasan itu, termasuk gangguan lanun dan tentera Indonesia, masalah subsidi petrol dan operasi bot haram.
Tindakan lanjut sedang diusahakan kementerian yang berkaitan, tambahnya.
Beliau turut menafikan undi sesuatu kaum tertentu menjadi faktor penentu keputusan pilihanraya kali ini.
"Semua kaum menjadi penentu. Dan semua undi penting, sama ada undi Cina, India atau Melayu. Dalam keadaan pilihanraya umum, lebih lagi pilihanraya kecil, kita tidak boleh abaikan mana-mana undi, daripada mana-mana kaum.
"Satu undi pun sangat bermakna (kepada BN) dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang ini," katanya.
Ditanya keberkesanan pendekatan nyanyian dan tarian yang digunakan BN bagi menarik pengundi Cina, Ahmad Zahid berkata, ia "harus dihormati kerana sebahagian daripada budaya Cina."
No comments:
Post a Comment