OLEH Hasmi bin Hashim
Memang, kalau tak kerana angin, masakan pokok bergoyang. Tatkala semua ujian menimpa Pakatan Rakyat, termasuk isu di dalam PAS, yang gagal dilihat pihak musuh ialah, ahli-ahli PAS menjadi semakin matang menilai serta mencari punca ‘penyakit’. Tak mudah nampaknya untuk diperlekeh kebijaksanaan ini seiring dengan kebijaksanaan sebahagian besar pemimpinnya.
Apakah selamanya pelbagai isu dan polimik sensasi yang cuba dibangkit di beberapa negeri, dan beberapa isu, lantas terus dijadikan dalih untuk senyap-senyap menjalin ‘rundingan peribadi’ dengan elit Umno? Apakah tomahan pemberikan “tanah kepada Cina di Perak” boleh dijadikan ukuran PAS kini mengkhianati orang Melayu?
Dalih ini, semakin tak laku, terutama kalangan ahli akar umbi dan rakyat Perak yang tahu bahawa tak ada seincipun tanah yang diberikan kepada yang bukan berhak! Pengakuan ini saya perolehi langsung daripada Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin ketika pertemuan kami dalan program di Universiti Terbuka Perak (Ureka), 17 Oktober lalu.
Kedurjanaan Umno, terhadap orang Melayu lebih bertompok dan ketara. PAS, termasuk ketika allahyarham Datuk Ustaz Fadhil Noor, menyaksikan bagaimana permainan silap mata dan kerakusan Umno menangkap aktivisnya. Bahkan membunuh!
Kes Memali, misalnya, sampai kini tak selesai. Penindasan terhadap PAS, oleh Umno, menjadikan PAS seakan-akan tidak mungkin dapat duduk kembali dengan Umno. Saya percaya, kepada yang sering bercermin kepada sejarah, tak mungkin dapat menerima apa yang dinamakan Umno sebagai rakan kongsi kuasa hanya atas dalih survival Melayu mahupun ugama.
Dan saya hendak bertanya, siapa yang memulakan label “Erdogan” yang merujuk kumpulan kononnya “pro-Anwar”, kalau bukan elit dan media Umno? Bukankah mereka jugalah yang tiba-tiba menjuarai agar golongan ulama’ dalam PAS menentang “kumpulan Erdogan” itu, sedangkan sejak bila Umno pro-ulama’?
Ternyata, kekalang-kalibut ini, dengan insaf saya mentafsirkan, sengaja direncana oleh segelintir manusia yang dahulunya pernah bersama Keadilan, dan ada hubungan dengan dua-tiga kerat sahabat dalam PAS.
Tak dapat Keadilan, PAS cuba mereka piat. Bedebah!
Usaha untuk melemahkan Pas dan Keadilan khususnya juga bukan baru. Ada nama yang dua-tiga bulan menyertai Keadilan, misalnya, kemudiannya meninggalkan parti dengan sidang media yang bukan main tampak hebat sehingga dipersoalkan kejujuran mereka menyertai Keadilan. Apakah direncana, diupah? Kemudian, lenyap.
Juga sejak beberapa tahun lalu, tak kurang pemimpin kanan Keadilan diumpan dengan itu dan ini, ada yang diugut, agar, meninggalkan parti dan perjuangan. Yang gagal bertahan, yang lemah, justeru berpaling.
Kita tahu, dalam sedar tak sedar, Keadilan, malah lebih tepat Anwar wajar dihapuskan. Kekalahan teruk Barisan Nasional, 8 Mac lalu, diakui mereka banyak disumbang dengan apa yang disebut sebagai “faktor Anwar” selain kesediaan PAS dan DAP berada dalam saf yang melangkah sederap.
Atas kenyataan ini, rencana jahat dan fitnah baru, diatur. Apabila ada seorang anak muda yang ‘bersumpah’ dirinya diliwat, mereka kira Anwar sudah masuk perangkap. Melalui berita TV ketika menjelang pilihanraya kecil Permatang Pauh, ada yang dengan sinis berkata “tengoklah nanti!”
“Tengoklah nanti” itu merujuk rancangan mereka yang menggunakan kaedah seumpama cara jahat Dr Mahathir ketika memfitnah Anwar pertama kali dahulu; lebih 10 tahun dahulu. Beza golongan kecil ini, yang tentunya mendapat restu pimpinan tertinggi Umno adalah, mereka nampaknya lebih rakus berbanding Dr Mahathir sendiri…
Kemusnahan sangat mereka harapkan menjelang Konvensyen Pakatan Rakyat, Disember ini. Mereka, dengan janji dan ikrar yang bermacam-macam waktu menyertai semula Umno, tentunya mahukan sokongan dana untuk menjayakan misi. Saya kira, politik Najib pula adalah politik yang tergamak menyiapkan upah, asalkan misi siap. “Misi pertama” iaitu merampas kerajaan Perak, dianggap ’sempurna’.
Kedua, iaitu yang lebih mustahak, kemaraan Pakatan Rakyat yang dipenghului oleh Anwar mesti disekat. Disekat segera!
Ahli-ahli parti-parti di dalam Pakatan Rakyat dan rakyat semakin jelas melihat isu ini. Teguh di belakang kebenaran, dan siap untuk menegur mana-mana pemimpin yang terpesung daripada “sumpah perjuangan” bukan hal yang perlu dimalukan. Yang sudah terpesung pula, hanya menanti masa, dimakan tulah.
Kesepaduan Pakatan Rakyat, saat ini menjadi mustahak sekali. Sangat mustahak kalamana kita hanya beberapa langkah sahaja lagi melewati gerbang Putrajaya. Umno belum pernah dalam sejarahnya berasa begini gementar, dan memang mungkin akan mereka gunakan apa sahaja, baik mengadu-domba dan cuba memecah-belahkan Pakatan Rakyat agar mereka kekal berkuasa.
Tak tergambar kita, bagaimana nantinya bila kuasa dapat kembali kepada Umno-BN andai kita termakan umpan dan cuai, betapa kuku tajam Umno-BN akan mencengkam rakyat. Mereka kini sedang menahan nafsu, kerana mereka tak sangat berupaya ketika hilang kuasa di banyak kawasan dan negeri.
Justeru itu, kepentingan Melayu, mahupun Islam adalah kepura-puraan politik, sementara Umno berada dihujung tanduk. Kita tak punya pilihan, kecuali menepis Umno-BN ke luar pagar Putrajaya. Keutuhan kita kepada bangsa dan negara jelas. Lebih jelas daripada slogan politik “1Malaysia” Perdana Menteri.
Dan, yang paling utama daripada kekalutan hasil buah tangan elit Umno ini, adalah kembali memperkukuh idealisme, memperkasa gagasan dan memperkuat saf… terutama kalangan anak muda, yang, pada satu ketika dahulu, juga sepenuhnya mahu dilumpuhkan demi melonjakan menantu bekas PM ke-5.
Kita benteng hadapan, bukan barisan di belakang.