Saturday, February 14, 2009
Satu Peringatan
Osman Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi tidak hadir di mahkamah untuk kes perbicaraan rasuah mereka. Osman yang dikatakan dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur kerana sakit yang tidak diketahui telah gagal mengemukakan bukti tersebut.
Majistret Ipoh Sharmila Abdul Samad telah menolak penjelasan yang dikemukakan oleh adik Osman, Noriza. Majistret telah mengemukakan waran tangkap ke atas Osman akibat kegagalan hadir di mahkamah atas sebab-sebab yang munasabah.
Sementara itu Jamaluddin yang juga dikatakan sakit telah mengemukakan sijil yang sah melalui peguamnya. Begitulah kira-kira berita yang dipetik daripada Malaysian Insider.
Apa yang dapat dilihat adalah permainan untuk melengah-lengahkan kes perbicaraan mereka. Sedangkan pada ketika tangkapan mereka dibuat, siapa yang paling kecoh? Tetapi sekarang mengapa pihak-pihak berkenaan berdiam diri, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Jawabnya mudah, sekarang dua orang itu berada di dalam kelompok yang satu lagi. Inilah yang dikatakan assabiyah, bila orang yang bersama kita melakukan kesalahan, akan ditutup serapat-rapatnya tetapi jika orang yang tidak sehaluan dengan aspirasi kita, maka akan diheboh seantero dunia. Assabiyah tidak hanya dikaitkan dengan kepentingan ras, kabilah tetapi ia lebih kepada sikap double standard yang ekstrem. Tidak kira bangsa atau agama asalkan menyokong aspirasi yang sama-sama dijunjung, maka sokongan akan diberi.
Ingatlah, manusia yang dahulunya tiada, kemudian diciptakan oleh Allah untuk menjadi khalifah, duta, pemimpin di atas dunia bagi memakmurkan dunia dengan jalan yang ditentukan Allah melalui method yang ditunjukkan oleh para rasulNya. Kini Allah dan rasul hanya sebutan di bibir, hanya tulisan di atas kertas atau tertera di hadapan skrin, sangat kurang kemeresapan atau penghayatan pada roh dan jasmani. Pertelingkahan yang berlaku tidak dirujuk kepada Al Quran dan As Sunnah. Perkataan yang dihamburkan hanya sekadar emosi amarah bis suu' hingga bisu untuk menyatakan kebenaran dan tuli untuk mendengar rintihan. Tidak cukup menyatakan ulil amri patut dipatuhi tanpa menyatakan dalil-dalil yang konkrit dan contoh tauladan dari rasul, para sahabat dan para ulama' yang mukatabar. Kita lupa ada imam mazhab yang empat telah dipenjara dan disiksa kerana berselisih pendapat atau istilah masyhur hari ini derhaka kepada pemerintah ketika itu. Apa kita lupa kisah Nabi Ibrahim dan Namrud? Apa kita lupa kisah Musa a.s. dengan Firaun, apa kita lupa dengan kisah Nabi kita dengan bangsawan Quraish?
Apa kena mengena dengan isu Osman dan Jamaluddin? Kita kini sedang menyaksikan lakonan manusia dan diri kita sendiri yang lupa akan tujuan kita datang ke alam zahir ini. Manusia sanggup lakukan apa sahaja demi kepentingan masing-masing walaupun ia bercanggah dengan kehendak Allah dan Rasul. Oleh itu, kita kena sentiasa mengingatkan diri kita dan mohon kepada Allah Tuhan Yang Maha Agung agar dijauhkan daripada perkara seumpama itu, sentiasa berdzikir memujiNya, sentiasa memohon ampun kepadaNya dan sentiasa memohon petunjuk dariNya agar kita berjalan di atas jalan Allah dan Rasul. Kita sebagai umat Islam sewajibnya khuatir dimasukkan ke dalam 72 golongan dan tidak yang satu golongan itu pada hari Mahsyar nanti.
Di dalam menangani kemelut yang berada di hadapan kita, selain daripada usaha manusiawi, kita sepatutnya lebih tingkatkan usaha secara mendekatkan diri kepada Allah dengan bermunajat, mohon pertolongan, "bertanya" kepada Allah apakah langkah terbaik yang patut kita lakukan. Semoga rintihan, munajat, doa kita akan diperkenankan Allah untuk kita sama-sama mendirikan satu daulah yang mendapat rahmat, berkat dan petunjuk dariNya. Kita akan pergi menemuiNya tidak lama lagi, apakah kita dapat menjamin anak cucu kita terselamat daripada bencana seumpama ini akan datang? Apakah kita rela kita dipisahkan oleh Allah dari keluarga kita pada hari perhitungan nanti, apakah kita rela apabila kita bercerai daripada Rasul yang kita cintai, apakah yang kita akan berhujah di hadapan Allah nanti apabila kita reda kemungkaran dan kebobrokan umat yang berlaku demi menyokong puak kita atau ASSABIYAH.
Wallahu a'lam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment