Tarif elektrik akan diturunkan purata 3.7 peratus kepada 31.31 sen sekilowat jam (kwj) daripada 32.5 sen sekwj mulai 1 Mac ini.
Para pengguna domestik akan mengalami penurunan tarif elektrik secara purata sebanyak 2.54 peratus manakala para pengguna komersil sebanyak 2.7 peratus, dan pengguna industri 5.0 peratus.
Menteri Tenaga Air dan Komunikasi Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, pengecualian pembayaran bil eletrik bagi pengguna yang bil eletriknya berjumlah RM20 ke bawah akan diteruskan sehingga 31 Dis 2009.
"Kerajaan juga telah menetapkan supaya talian elektrik seumur hidup bagi pengguna domestik yang menggunakan eletrik 200 sekwj ke bawah sebulan juga dikekalkan pada kadar tarif sedia ada iaitu 21.8 sen sekwj memandangkan pengguna dalam kategori ini tidak mengalami sebarang kenaikan tarif eletrik sejak tahun 1998, katanya kepada pemberita ketika mengumumkan penurunan tarif elektrik di sini hari ini.
Katanya, kerajaan juga bersetuju supaya bekalan gas tambahan sebanyak 100 mmscfd (kaki padu standard sehari) akan diberikan kepada sektor industri dari sektor elektrik sebagai langkah kerajaan untuk menggerakkan sektor tersebut dan memberi keyakinan kepada pelabur asing untuk membuat pelaburan di negara ini.
Selain itu, pengguna industri yang layak juga masih terus menikmati tarif khas industri yang sudah pasti akan memberi impak positif kepada pihak industri," katanya.
Katanya, kementerian juga mencadangkan supaya syarikat pengagihan air yang tidak layak menikmati kemudahan tarif khas industri diberi bantuan melalui diskaun tarif elektrik supaya kerajaan dapat memastikan tarif air adalah pada kadar yang tidak terlalu membebankan pengguna. BERNAMA
No comments:
Post a Comment