Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dalam satu surat terbuka kepada beliau memohon beliau kembali kepada rakyat.
"Walaupun sudah terlajak, ia masih boleh dibetulkan jika kehormatan politik dan maruah diri masih utuh dan tinggi," tulis Husam dalam suratnya kepada Zambry yang salinannya dihantar kepada Siasah hari ini.
"Masihkah mampu YB berdiri tercacak sebagai‘Menteri Besar Perak sedangkan pilihan rakyat adalah lain dan rakyat Perak melalui pengundi Bukit Gantang telahpun menjatuhkan penghakiman mereka?" tanya Husam.
Berikut adalah surat penuh Husam itu.
YB Datuk Zambry Abdul Kadir,
ADUN Pangkor, Perak Darul Redwan.
ADUN Pangkor, Perak Darul Redwan.
Assalamualaikum wr wt.
PEMBUBARAN DUN PERAK

YB terlibat sebagai watak utama apabila bersetuju menerima jawatan MB sekalipun MB yang sah tidak pernah dalam apa jua cara mengosongkan kerusinya. Atas takdir Allah, berlaku kekosongan kerusi di Perak berikutan kematian YB ADR Bukit Gantang di mana satu dari ADUN yang telah berpaling tadah ada di situ, iaitu DUN Cangkat Jering.
Seperti YB ikuti, calon BN telah tewas dengan majority yang lebih besar dari pilihanraya umum 2008, sekalipun gambar YB sebagai ‘Menteri Besa’ tersenyum lebar dan terpampang di mana-mana. Kemenangan YAB Datuk Sri Nizar telah membuktikan segala-galanya.
Rakyat Perak tidak boleh menerima kerajaan haram yang membelakangkan pilihan rakyat. Apa lagi semua dasar-dasar yang diputuskan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat telah diteruskan tanpa satu pun dirombak walaupun UMNO mendakwa dasar-dasar itu merugikan Melayu, termasuk dasar pemberian milik tanah yang telah terbengkalai puluhan tahun semasa BN mentadbir Perak.
Saya suka memetik pendapat Dr. Wee Ka Siong, Dr. Cheah Soon Hai, Pengerusi Gerakan Kedah dan Encik Ismail Saffian, bekas calon BN di Bukit Gantang sendiri, yang disiarkan dalam akhbar The Star, muka surat N4 hari ini: bahawa punca kekalahan BN bukan sahaja di Bukit Gantang, malah juga di Bukit Selambau ialah peristiwa perampasan kuasa Kerajaan Perak.

Apa lagi yang boleh menghalang naluri murni YB tidak tersentuh dan deria maruah YB tidak terpanggil? Masihkah mampu YB berdiri tercacak sebagai ‘Menteri Besar Perak’ sedangkan pilihan rakyat adalah lain dan rakyat Perak melalui pengundi Bukit Gantang telahpun menjatuhkan penghakiman mereka?
Kembalikanlah kepada rakyat. Walaupun sudah terlajak, ia masih boleh dibetulkan jika kehormatan politik dan maruah diri masih utuh dan tinggi.
Salam
Husam Musa
Naib Presiden PAS
13 Rabi’ul Akhir 1430/ 9 April 2009
No comments:
Post a Comment